Pengenalan Kelab Noon

Dalam Al Quran, surah yang ke 68, iaitu Surah Al Qalam, Allah telah bersumpah dengan huruf Nun beserta dengan Matapena.

Matapena adalah ciptaan Allah yang pertama, yang membuat segala catatan. Surah ini juga merujuk kepada Pena iaitu simbol keilmuan dan bidang penulisan yang mempunyai pengaruh yang amat besar. Apakah ilmu yang paling baik selain daripada yang terkandung dalam Al Quran?

Dalam Bahasa Melayu pula, Noon berbunyi seperti ‘Nun’ contohnya ‘lihat nun jauh di sana’, seolah-olah mengajak supaya berpandangan jauh.

Oleh itu, Kelab Noon menjemput anda pembaca semua supaya turut serta bersama kami, menjadi ahli masyarakat yang senantiasa meningkatkan ilmu serta berpandangan jauh dalam segala hal dan perkara...

Wednesday 9 July 2014

Pespektif Keluarga Noon: Keluarga Ramadhan



Ramadhan Pengikat Kasih Keluarga

Syaaban berlalu, Ramadhan pun bertamu. Alhamdulillah kita telah terpilih sekali lagi. Terpilih berada pada bulan Ramadhan yang penuh keberkatan, keampunan dan rahmat Allah SWT. Setiap individu pastinya bercita-cita bagi memanfaatkannya dengan sebaik mungkin demi menjadi graduan alumni madrasah Ramadhan yang berjaya. Apakah kejayaan itu? Sudah tentunya tidak lain daripada mencapai ketaqwaan sebagaimana yang disebut oleh firman Allah dalam ayat 183, Surah Al-Baqarah yang bermaksud; 

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa”. 
(Baqarah:183) 

            Namun, berapa ramaikah dalam kalangan kita yang berusaha membawa bersama ahli keluarganya dalam mencapai impian tersebut? Suasana bulan Ramadhan seharusnya menjadi wasilah terciptanya jalinan keharmonian dan keakraban keluarga. Kesyahduan Ramadhan terlukis pada saat seluruh anggota keluarga menjalani ibadah puasa, menghidupkan Ramadhan dengan amal bagi memperbaiki diri secara peribadi dan secara kolektif sebagai satu keluarga demi redha Ilahi. 

Gambar diadaptasi daripada beberapa laman sesawang
 Keakraban selaku sebuah keluarga akan dirasai pada detik menjelangnya sahur dan berbuka puasa. Seluruh ahli keluarga duduk bersama-sama serta menikmati hidangan juadah yang telah disediakan. Suasana berdoa bersama-sama pada ketika hampirnya waktu berbuka iaitu antara waktu makbulnya doa pada bulan Ramadhan, mampu mempertautkan hati-hati tulus dan mulus.

Seterusnya, pasti akan terasa kemanisan beribadah sekiranya sang ayah selaku ketua keluarga, mengajak seluruh anggota keluarga bagi melaksanakan solat maghrib berjamaah. Anak-anak lelaki yang sudah dewasa juga turut digilir mengimami solat supaya terdidik keyakinan dan keberanian sebagai imam generasi pewaris dan pemimpin masa hadapan. Kemudiannya, semua ahli keluarga tadi melangkah bersama-sama ke masjid, bersolat Isya dan bertarawikh beserta dengan ahli kariah yang lain, seterusnya dapat merapatkan lagi hubungan dan ukhuwwah masyarakat setempat.

Di antara senggang waktu yang ada pula dilakukan tadarus Al-Quran bersama keluarga bagi meningkatkan lagi rasa kebersamaan dalam beramal. Usaha bagi memperbanyakkan tilawah dan khatam Al-Quran secara individu elok dipantau oleh ibu bapa. Ahli keluarga juga seharusnya saling ingat mengingatkan supaya memperbanyakkan doa kerana ia adalah antara ibadah yang paling utama di sisi Allah, seperti yang tertulis dalam surah Ghafir ayat 60 yang bermaksud; 

“Berdoalah kepadaKu, niscaya akan Ku perkenankan bagimu”
(Ghafir:60)

Bagi meningkatkan rasa keinsafan dan keperihatinan, ibu bapa juga disarankan supaya melakukan seruan untuk ahli keluarga memperbanyakkan infaq dan sedekah. Wujudkan tabung infaq di rumah terutama untuk anak-anak yang belum mencapai peringkat dewasa. 

Rasulullah S.A.W. telah bersabda, ”Sebaik-baik sedekah adalah sedekah pada bulan Ramadhan” (HR Tirmizi).

            Semoga peluang-peluang amal yang hadir pada bulan Ramadhan ini akan dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya bersama keluarga supaya kita dapat berkumpul semula di syurga-Nya sepertimana kita berkumpul di dunia ini….Amin.
Karya Oleh: Kerisisiah Mohd Daud
            Dzilal Abdul Aziz

No comments:

Post a Comment