Pengenalan Kelab Noon

Dalam Al Quran, surah yang ke 68, iaitu Surah Al Qalam, Allah telah bersumpah dengan huruf Nun beserta dengan Matapena.

Matapena adalah ciptaan Allah yang pertama, yang membuat segala catatan. Surah ini juga merujuk kepada Pena iaitu simbol keilmuan dan bidang penulisan yang mempunyai pengaruh yang amat besar. Apakah ilmu yang paling baik selain daripada yang terkandung dalam Al Quran?

Dalam Bahasa Melayu pula, Noon berbunyi seperti ‘Nun’ contohnya ‘lihat nun jauh di sana’, seolah-olah mengajak supaya berpandangan jauh.

Oleh itu, Kelab Noon menjemput anda pembaca semua supaya turut serta bersama kami, menjadi ahli masyarakat yang senantiasa meningkatkan ilmu serta berpandangan jauh dalam segala hal dan perkara...

Saturday 4 October 2014

Kesabaran dan Pengorbanan: Mampukah Kita?


Kita telah melalui ibadah puasa dalam bulan Ramadhan yang telah lama berlalu. Tidak cukup dengan itu, ada juga saranan untuk kita meneruskan berpuasa selama 6 hari dalam bulan Syawal ini, dengan itu pahalanya seperti puasa setahun. Mengapakah Allah menyusun perkara sebegini? Apakah rahsia di sebaliknya? Sudah tentu hati kita akan terjentik dan tertanya-tanya.

Kini tiba pula permulaan kepada bulan haji. Apakah perkara yang dikaitkan dengan bulan ini? Apakah kaitannya dengan perkara ini dengan amalan pada bulan Ramadhan?

Jawapannya adalah, sekiranya bulan Ramadhan, Allah mahu mendidik hati-hati kita supaya banyak bersabar maka bulan haji pula perlu memerlukan pengorbanan. Sudah semestinya setiap pengorbanan pula memerlukan banyak kesabaran.

Kesabaran amat perlu tatkala menunaikan ibadah haji. Sekiranya diperhatikan dalam mengerjakan ibadah haji itu, kita akan dapat mengaitkan beberapa perkara yang relevan dalam kehidupan dan menghadapi saat kematian. 

Seseorang itu perlu menjalani kursus haji. Dalam kehidupan, kita perlu menyiapkan bekalan amal untuk alam akhirat. Bakal haji meninggalkan kediaman yang indah sempurna, anak-anak dan ahli keluarga, pesanan dan wasiat kepada pewarisnya, seakan mahu meninggalkan dunia fana dan memulakan perjalanan rohani. 


Tatkala menghantar ke Kompleks Haji mahupun ke lapangan terbang, keluarga akan berkumpul beramai-ramai, sama seperti keluarga menghantar jenazah ke tanah perkuburan. Pakaian dalam berihram juga amat minimum. Kaum lelaki hanya disyaratkan memakai 2 helai kain putih yang tidak berjahit manakala wanita dengan keperluan menutup auratnya yang tersendiri, tidak ubah seperti kain kafan. Begitu juga tatkala di wukuf di Arafah, berkumpulnya lautan manusia seumpama menunggu saat perhitungan di Padang Mahsyar kelak. 

Semuanya dalam keadaan yang serupa, tidak kira bangsa warna kulit dan kedudukan di dunia. Yang membezakan hanyalah timbangan amal yang dijadikan bekalan.  Perjalanan haji ini sudah cukup menginsafkan diri.

Musim haji juga disyaratkan ibadah korban, simbolik tindakan yang sangat bermakna. Contoh pengorbanan yang sangat hebat dapat kita lihat dalam kisah Nabi Ibrahim a.s. serta keluarganya.

Pertama, baginda telah disisih oleh ayahnya apabila dilantik Allah menjadi Nabi.  Baginda telah melawan ayahnya yang kerjanya adalah pembuat patung sewaktu itu dan kemudian terpaksa lari ke Palestin.

Kedua, baginda menunaikan perintah Allah meninggalkan isteri dan anak pertamanya di padang pasir yang gersang, diketahui tatkala itu tanpa sebarang sumber air.

Ketiga, baginda disuruh Allah supaya menyembelih anak kesayangan yang lama tidak baginda berjumpa. Namun Nabi Ibrahim tidak membantah. Begitu juga anaknya Nabi Ismail dengan suka dan rela menurut kata ayahnya. Sehinggalah Allah menggantikan diri anaknya itu dengan seekor kibas.

Begitu juga kehebatan pengorbanan seorang isteri dan ibu iaitu, Siti Hajar yang sanggup menanggung derita sengsara. Bagaimanakah perasaan seorang ibu muda pada hari ini sekiranya ditinggalkan di tengah padang pasir kering kontang dengan bayi yang masih kecil? Cuba kita bayangkan. Siti Hajar terpaksa berlari ke sana ke mari (Bukit Safa dan Bukit Marwa) lebih daripada sekali. Barangsiapa yang pernah mengerjakan haji mahupun umrah akan tahu betapa jauhnya jarak di antara kedua-dua tempat ini. Namun ibu muda ini tidak pernah kenal apa itu putus asa. Bahkan, ia tetap bersabar dan terus menerus bergantung harap kepada Allah yang satu, sehinggalah terpancutnya mata air yang kita kenali sebagai telaga Zam-zam, yang tidak pernah kering sejak dari saat itu. Keluarnya pun adalah daripada hentakan kaki anaknya yang menangis. Tindakan Sit Hajar berlari-lari anak dari dua tempat itu juga diabadikan dan dituntut dalam ibadah haji dan umrah. Suatu pengiktirafan yang amat besar sekali. Semua itu adalah anugerah Allah sebagai ganjaran di atas kesabaran dan tetap pendirian.

Apakah yang boleh kita ambil pengajaran daripada pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. yang dinyatakan di dalam Al-Quran ini?

Kita mahu mencari keredhaan Allah sementara hayat masih dikandung badan di dunia ini. Dalam mencari keredhaan Allah ini, maka perlu melaksanakan pengorbanan sedikit sebanyak. 

Dalam sesetengah situasi, manusia akan menghadapi dilema. Hatta kerana mahu mengatasi keinginan dan keseronokan sendiri. Contohnya bagi wanita yang mahu melakukan perubahan dari segi berpakaian yang menutup aurat. Ataupun lelaki yang tidak rajin ke masjid mahupun seorang perokok yang mahu keluar dari petak kongkongan asap berbahaya itu. Sekadar melepaskan ego diri kadangkala dirasakan tersangat besar dan sukar sekali. Namun, sekiranya kita insaf dan tahu ganjaran Allah itu amat besar, kita tidak mungkin akan teragak-agak melakukannya pengorbanan nafsu dan hati. Kita juga akan tetap sabar dan beristiqamah dalam melakukannya.

Allah Maha Penyayang lagi Maha Mengasihani telah menyatakan bahawa “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya...” AlBaqarah: 256.

Dalam buku “Keajaiban Haiwan yang Mengubah Dunia”, penulis buku telah memetik contoh kitaran hidup semut.

“Semut bersusah payah mengorbankan diri bagi memastikan kesinambungan zuriat dan generasinya. Sepanjang musim luruh, semut menyediakan bekalan makanan berbentuk ‘gedung tepung’ sebagai persiapan musim dingin. Setiap semut ada tugas masing-masing. Selagi ada generasi muda sebagai pengganti, semut tentera membunuh semut tua yang sudah lama bertugas membuat ‘tepung’. Semut-semut tua ini pula merelakan, seolah-olah tahu yang tugas mereka sudah selesai, sedangkan semut-semut tua sendiri tidak dapat merasai sepenuhnya nikmat hasil hasil kerjanya.”

Sekiranya haiwan sekecil serangga pun tahu tentang konsep pengorbanan, maka apatah lagi kita manusia.

Oleh itu, ayuh kita insafkan diri. Mari laksanakan pengorbanan dengan harta, wang ringgit, tenaga, masa dan jiwa raga di samping bersabar dalam melakukannya. Demi menegakkan agama Allah dalam hati dan juga pada alam nyata.


Selamat menyambut Hari Raya Aidil Adha dan selamat melaksanakan ibadah korban. Semoga Allah menerima segala amalan ikhlas kita semua, Aamiin.

Ir. Hj. Abdul Aziz Omar
P.M. Dr. Hjh. Umi Kalthum Ngah