Pengenalan Kelab Noon

Dalam Al Quran, surah yang ke 68, iaitu Surah Al Qalam, Allah telah bersumpah dengan huruf Nun beserta dengan Matapena.

Matapena adalah ciptaan Allah yang pertama, yang membuat segala catatan. Surah ini juga merujuk kepada Pena iaitu simbol keilmuan dan bidang penulisan yang mempunyai pengaruh yang amat besar. Apakah ilmu yang paling baik selain daripada yang terkandung dalam Al Quran?

Dalam Bahasa Melayu pula, Noon berbunyi seperti ‘Nun’ contohnya ‘lihat nun jauh di sana’, seolah-olah mengajak supaya berpandangan jauh.

Oleh itu, Kelab Noon menjemput anda pembaca semua supaya turut serta bersama kami, menjadi ahli masyarakat yang senantiasa meningkatkan ilmu serta berpandangan jauh dalam segala hal dan perkara...

Wednesday 9 July 2014

Tips dari Noon: Pilihan Sumber Pemakanan



Illustrasi dirujuk daripada lama sesawang Viva News
                                                    Merisik Ayam

Alhamdulillah, sudah lebih sepuluh hari umat Islam seluruh dunia berpuasa. Dalam menu Ramadhan kita samada juadah berbuka atau bersahur, ayam memang begitu popular. Terutama sekali dalam kalangan anak-anak, tidak kurang juga orang dewasa. 

Masihkah kita ingat peristiwa di Terengganu yang mengakibatkan ramai murid sekolah sakit-sakit akibat memakan ayam goreng yang dibeli dari pasar malam? Juga kes kematian ramai para tetamu yang hadir di majlis kenduri perkahwinan di Kedah berpunca daripada daging ayam yang sudah busuk dan mereput? Timbul beberapa persoalan. Segarkah daging ayam yang kita beli?  Mahukah anda tahu petuanya? Mari kita lihat.

Ayam mengandungi sumber protin yang baik untuk tubuh badan kita. Ibu-ibu yang prihatin sudah tentu mahukan  ahli keluarga mereka tampil sihat sepanjang Ramadhan, bukan? Oleh itu, mari sama- sama kita ke pasar dan lihat bagaimanakah yang dikatakan ayam itu segar dan cara mengenalinya.

Bagi memilih ayam segar, kita perlu meneliti beberapa perkara. Panduan berikut amat bermanfaat.

1. Daging ayam segar biasanya berwarna putih kekuningan, tetapi awas! Sekiranya ayam kelihatan terlalu putih isi dagingnya, itu adalah petanda yang ayam itu kurang elok. Kita tidak perlu tunggu lagi. Terus sahaja bergerak ke gerai lain.

2. Dengan menggunakan satu jari, cuba tekan daging ayam yang ada di hadapan anda. Daging segar lebih anjal dan akan segera memegas semula ke bentuk asal. Jadi, sekiranya kesan jari kita mengambil masa yang lama bagi menghilang, bermakna ayam itu sudah lama dan bukan lagi segar.

3. Salah satu petanda yang amat ketara adalah kesan bau. Oleh itu, jauhi sama sekali dan elak membeli daging ayam yang berbau kurang enak.

4. Cuba angkat ayam tadi dan perhatikan samada tulang- tulang dalamannya. Adakah banyak kesan tulang yang patah? Jauhi daripada membeli ayam yang terlalu banyak tulang yang patah kerana ia petanda ia kurang elok.

5. Ayam segar seharusnya tidak mempunyai bekas-bekas lebam padanya kecuali lebam akibat pendarahan ketika proses penyembelihan.

6. Sekiranya daging ayam sudah berlendir dan terlalu lembik, memang tidak syak lagi ayam ini tidak sepatutnya dijual kepada pengguna. Anda berhak membuat aduan kepada pihak berkuasa tempatan.

7. Elakkan juga membeli daging ayam yang kulitnya dipenuhi bulu halus. Bakteria mudah berkumpul pada bahagian itu.

 8. Seperkara lagi, bagi menjaga kesihatan tubuh badan, elakkan memakan kulit ayam kerana banyak lemak terkumpul di situ. Jadi, jika kita malas membuang kulit, minta tolong kepada penjual ayam supaya membuangkan sahaja kulit ayam itu. Tidak harus malu dan segan.

9. Petua yang paling berharga adalah kita pergi ke pasar yang menjual barangan basahan dan di situ, pilih sahaja ayam yang dihajati dan serahkan urusan penyembelihan kepada tukang sembelih. Lebih bagus sekiranya kita sudah lama mengenali usahawan penjual ayam dan dia tahu apa yang yang kita mahu. Itulah yang sebaik-baiknya

Barangsiapa dalam kalangan kita yang melalui zaman kanak- kanak di kampung halaman dahulu sudah tentu merindui suasana yang amat berbeza daripada masa sekarang. Ibu ayah kita dahulu membela ayam sendiri dalam reban dan menyembelihnya sendiri. Kita sebagai anak-anak juga turut terlibat dalam proses penyediaan ayam itu. Namun zaman telah berlalu. Oleh itu, kita hanya boleh melakukan apa yang termampu. Gunakan sepenuhnya kuasa anda sebagai pembeli. Panduan yang disenaraikan akan dapat membantu kita dalam membuat pilihan bagi memastikan bekalan ayam kita adalah bersih, suci dan segar. Tambahan pula menu ayam dijadikan sajian keluarga dan tetamu tatkala berbuka pada bulan Ramadhan dan juga Syawal yang bakal menjelang tidak lama lagi.
Karya Oleh: Norizan Lazim







Ramadhan membina kekuatan umat,

Iftar yang sihat membawa berkat.

  

No comments:

Post a Comment