Pengenalan Kelab Noon

Dalam Al Quran, surah yang ke 68, iaitu Surah Al Qalam, Allah telah bersumpah dengan huruf Nun beserta dengan Matapena.

Matapena adalah ciptaan Allah yang pertama, yang membuat segala catatan. Surah ini juga merujuk kepada Pena iaitu simbol keilmuan dan bidang penulisan yang mempunyai pengaruh yang amat besar. Apakah ilmu yang paling baik selain daripada yang terkandung dalam Al Quran?

Dalam Bahasa Melayu pula, Noon berbunyi seperti ‘Nun’ contohnya ‘lihat nun jauh di sana’, seolah-olah mengajak supaya berpandangan jauh.

Oleh itu, Kelab Noon menjemput anda pembaca semua supaya turut serta bersama kami, menjadi ahli masyarakat yang senantiasa meningkatkan ilmu serta berpandangan jauh dalam segala hal dan perkara...

Saturday 5 July 2014

Pabila Pena Magika Noon Melakar: OK-R

Orang Kaya – Ramadhan (OK-R)...Anda Mahu?

Orang kaya... Siapakah itu?

Apabila menyebut perkataan kaya, ramai akan tertarik hati. Seperti semut menghurungi gula. Berpusu-pusu orang datang mahu ambil tahu. Sebab itu skim cepat kaya sentiasa berleluasa walaupun sudah saban kali didedahkan akan segala penipuan dan sudah banyak kali terkena.

Namun Orang Kaya Ramadhan (OK-R) tidak akan terpikat dengan habuan kebendaan harta benda. Mereka adalah golongan yang mengejar kekayaan pahala. Dalam hal menimbunkan pahala dan ganjaran, berbuat baik dan menambahkan amalan, merekalah juaranya.

Sempena bulan Ramadhan Kareem tahun ini, apa kata sekiranya kita cuba jadi OK-R? Kita ubah kebiasaan. Kita buat satu perubahan. Kita bina budaya baru. Sekiranya dahulu kita menghabiskan masa dengan sia-sia, kita isikan dengan amalan yang mendatangkan pahala. Sekiranya kira berkira-kira mahu menyusun jamuan pada bulan Ramadhan, kita tidak perlu tangguh-tangguh. Jemput sahaja supaya tetamu dapat datang berbuka. Bukankah kita akan mendapat ganjaran pahala puasa sepertimana tetamu itu? Sesuatu yang tidak mungkin dapat kita raih dalam bulan Syawal mahupun bulan-bulan lain.


Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:
“Sedekah yang paling utama adalah sedekah pada bulan Ramadhan.”

(Riwayat at-Tirmidzi)

Apa kata juga kita membuat segala persiapan bagi menyambut raya sebelum menjelang Ramadhan itu sendiri? Juga mengumpulkan dana khas atau tabungan peribadi khusus bagi diagihkan kepada yang memerlukan pada kali ini? Iaitu pada fakir miskin, anak-anak yatim, mereka yang sangat mengharap sama ada dalam ataupun luar negara. Begitu banyak peluang yang terbentang luas. Contohnya, bersedeqah kepada institusi-institusi seperti institusi pendidikan yang memerlukan misalannya, kepada tabung-tabung sedia ada seperti di Palestin, Syria dan negara yang lain-lain. 


Daripada Zaid bin Khalid al-Juhhani r.a., daripada Nabi s.a.w. sabdanya,”Sesiapa yang memberi makan (berbuka) kepada orang berpuasa, ia akan mendapat pahala seperti orang yang berpuasam itu dan pahala orang yang berpuasa itu tidak berkurangan walau sedikitpun.”

(Riwayat at-Tirmidzi)

Jika sebelum ini kita melambakkan meja santapan dengan pelbagai juadah dan hidangan sama ada daripada persediaan sendiri ataupun yang dibeli, kita cuba ubah melalui pendekatan yang lebih bijak. Jika perlu dibeli maka hanya yang patut-patut. Jika menyediakan masakan maka pilih yang ringkas, menjimat masa, namun berkhasiat. Supaya dapat diluangkan masa yang terluang dengan aktiviti seperti membaca Al Quran.

Yang penting, kita cuba elakkan daripada pembaziran iaitu satu amalan yang mana syaitan menjadi kawannya. Sedangkan kita sudah sedia maklum, bulan ini adalah bulan di mana syaitan dibelenggu....jangan pula kita yang mengambil alih peranan syaitan itu....

Baginda Rasulullah saw, bersabda, “Apabila tiba malam pertama bulan Ramadan, semua syaitan dan jin yang jahat dibelenggu dan pintu-pintu neraka ditutup”.

(HR:Tirmizi, Ibu Khuzaimah & Ibnu Majah)

Oleh itu, mari kita masing-masing berlumba-lumba melonggokkan kantung pahala kita. Apa kata kita jadikan diri kita OK-R dalam bulan Ramadhan ini, ya?

Karya Oleh: Prof Madya Dr. Umi Kalthum Ngah
            Ezatul Emilia Muhammad Arif

No comments:

Post a Comment