Pengenalan Kelab Noon

Dalam Al Quran, surah yang ke 68, iaitu Surah Al Qalam, Allah telah bersumpah dengan huruf Nun beserta dengan Matapena.

Matapena adalah ciptaan Allah yang pertama, yang membuat segala catatan. Surah ini juga merujuk kepada Pena iaitu simbol keilmuan dan bidang penulisan yang mempunyai pengaruh yang amat besar. Apakah ilmu yang paling baik selain daripada yang terkandung dalam Al Quran?

Dalam Bahasa Melayu pula, Noon berbunyi seperti ‘Nun’ contohnya ‘lihat nun jauh di sana’, seolah-olah mengajak supaya berpandangan jauh.

Oleh itu, Kelab Noon menjemput anda pembaca semua supaya turut serta bersama kami, menjadi ahli masyarakat yang senantiasa meningkatkan ilmu serta berpandangan jauh dalam segala hal dan perkara...

Saturday 12 July 2014

Pilihan Noon: Terkurung atau Bebas Lepas?


Ayam Oh! Ayam
Illustrasi diadaptasi daripada blog agro-ku dan cermin retak
       Menjelang Ramadhan dan sepanjang bulan ini berlalu sehingga berlarutan pada hari raya dan hari-hari sesudah itu, sudah tentunya haiwan dari spesis burung ini paling banyak dikorbankan. Masakan tidak? Bekalan ayam mudah diperolehi malah senang diurus buat dijadikan sajian kerana ayam dijual dalam keadaan bersih, bulunya siap dibuang, begitu juga perutnya. Tambahan pula, begitu banyak pilihan resipi sajian berasaskan ayam yang mudah, ringkas ataupun yang lebih rumit yang boleh didapati dalam bentuk koleksi buku dan juga secara dalam talian.

      Kita sering mendengar rungutan para ibu, baik di rumah ataupun di tempat kerja, “Asyik-asyik ayam, naik muak dibuatnya.” Begitupun, anak-anak selalunya lebih berselera sekiranya ayam dihidang sebagai juadah berbuka. Tidak dapat dinafikan memang anak-anak  zaman sekarang amat menggemari ayam. Sekiranya diimbau masa lampau, kita yang berusia sekitar 40’an dan 50’an pada masa ini, jarang sekali dapat makan ayam.  Tatkala itu, menu ayam teramat istimewa, hanya dihidang sekali sekala terutama semasa hari perayaan atau semasa majlis kenduri. Semasa itu juga, kita bukan hanya menikmati hidangan ayam dengan rasa penuh teruja, malahan kita melalui satu proses yang amat menyeronokkan. Bermula dari menghalau seekor ayam dari dalam reban, menangkapnya yang masih terlari-lari di halaman rumah dalam suasana hilai tawa, sehinggalah ia siap terhidang dalam pinggan.

   Berkejar sehingga tertiarap, memegang erat ekor ayam yang dapat ditangkap, anak mata memerhati antara rasa simpati dan riang semasa ayam itu menggelupur selepas disembelih, mencabut bulu-bulunya selepas direbus, menyiapkan bahan dan ramuan bagi memasak sehinggalah dapat menjamah dagingnya yang enak dan lembut sebati dengan rencah masakan.  Sayang sekali, semua itu adalah di antara perkara-perkara yang tidak dapat dirasai oleh anak-anak kita zaman sekarang. Apa yang merisaukan ialah pengalaman yang tidak dilakar dalam kehidupan anak-anak kita ini, mungkinkah juga akan menjadikan mereka kurang atau tidak dapat menghargai nikmat dari keenakan seekor ayam ? 

  Oleh itu, apa kata sekiranya sekali-sekala kita berikan pengalaman ini kepada anak-anak kita? Kita buat satu proses pembelajaran secara tidak langsung. Kita ajak mereka ke pasar. Kita berikan mereka peluang memilih seekor ayam kampung yang sihat. Kita uja minda mereka supaya membuat perbandingan di antara ayam kampung dan ayam daging. Sudah tentunya akan nampak dengan jelas sekali perbezaan fizikal ayam yang terkurung, diternak bagi disembelih dengan seekor ayam kampung yang dibiar aktif dan cergas. Malah perkara ini telahpun dimulakan di negara-negara seperti England dan Australia yang mana ayam bebas ini dipanggil ayam ‘free range’. Bekalannya pula begitu mendapat sambutan dalam kalangan mereka yang mementingkan kesihatan. Kemudian, pada hari-hari santai, apa kata kita mengajak anak-anak berbincang perihal dua jenis ayam ini iaitu antara ayam kampung dan ayam daging. Mana satukah lebih tinggi khasiatnya dan juga lebih enak rasanya? Bisikkan juga ke telinga mereka “Maka pada setiap sesuatu kejadian itu, Allah jadikan pengajaran bagi orang-orang yang berfikir.”
Karya Oleh: Ramlah Hussin

No comments:

Post a Comment