Pengenalan Kelab Noon

Dalam Al Quran, surah yang ke 68, iaitu Surah Al Qalam, Allah telah bersumpah dengan huruf Nun beserta dengan Matapena.

Matapena adalah ciptaan Allah yang pertama, yang membuat segala catatan. Surah ini juga merujuk kepada Pena iaitu simbol keilmuan dan bidang penulisan yang mempunyai pengaruh yang amat besar. Apakah ilmu yang paling baik selain daripada yang terkandung dalam Al Quran?

Dalam Bahasa Melayu pula, Noon berbunyi seperti ‘Nun’ contohnya ‘lihat nun jauh di sana’, seolah-olah mengajak supaya berpandangan jauh.

Oleh itu, Kelab Noon menjemput anda pembaca semua supaya turut serta bersama kami, menjadi ahli masyarakat yang senantiasa meningkatkan ilmu serta berpandangan jauh dalam segala hal dan perkara...

Sunday 27 July 2014

Aidil Fitri: Usah Sampai Terhakis Pahala Ramadhan


Setelah sebulan kita berpuasa tiba pula masa bagi menyambut Aidil Fitri. Di negara kita, kota besar seperti ibukota Kuala Lumpur menjadi begitu lengang dan sunyi sepi. Begitu besarnya tarikan kekeluargaan terutamanya di kampung sehingga sekelian penghuni kota tidak dapat tidak, mesti bergegas ke kampung halaman masing-masing walaupun hanya buat seketika. Seumpama belut pulang ke lubuk. 

Namun dalam suasana umat Islam bersuka ria riang dan gembira menyambut hari pembebasan berperang dengan nafsu yang mampu membatalkan puasa, ada beberapa perkara yang perlu juga direnungi. Supaya sambutan Aidil Fitri itu tidak hanya menjadi budaya melepaskan geram memenuhi selera, mendamba kembali hidangan yang terkempunan sewaktu berpuasa (sedangkan sepanjang sebulan sudah diasuh elak memakan berlebihan) dan terlibat dengan tindak tanduk yang di luar batasan syarak.


Puasa yang diterima Allah adalah yang dapat meraih manfaat, membuahkan takwa, membersihkan jiwa. Sepertimana dinyatakan Allah dalam Surah Al Baqarah, ayat 183 yang bermaksud, “Wahai orang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sepertimana diwajibkan ke atas orang sebelum kamu supaya kamu bertakwa.”

Ternyata, amalan berpuasa sepanjang Ramadan menyucikan tubuh dan minda daripada segala noda. Jika sepanjang Ramadhan didapati kita lebih sihat, malah ada yang sakit darah tinggi dan kencing manisnya menjadi sedikit terkawal maka harus diawasi bermula detik Aidil Fitri. Kadangkala penyakit yang dihidapi itu menjadi lebih parah. Jika semasa Ramadhan juga hati kita terdidik supaya menyelami segala perasaan, bisikan dan perbuatan yang tidak baik maka seharusnya rangsangan itu kekal berbekas. Kita terus menerus menggantikan yang serba buruk dengan amalan terpuji dan memohon keampunan Ilahi. Jika telah terbiasa berdampingan dengan Al Quran maka seharusnya diteruskan keintiman itu. Jika tidak banyakpun maka memadai dengan sedikit. Bukankah Allah menyukai amalan yang sungguhpun sedikit namun berpanjangan?

Pada hari Aidil Fitri, kita kembali kepada fitrah; seolah-olah dilahirkan semula. Suci dan bersih bak kapas. Oleh itu hindarkan diri kita dari menodai kesucian yang telah kita sendiri susah payah gilapkan sepanjang bulan Ramadhan yang lalu. Ibarat kereta kesayangan yang baru keluar dari bengkel setelah proses pembaikan semula, ia berkilat dan seumpama baharu. Maka sanggupkah kita sengaja meredah lopak dipenuhi air kotor ataupun melanggari tembok sehingga kemik dan remuk? Begitu jugalah diri kita ini. Perlu mengawasi dan berwaspada akan cabaran pada Syawal dan bulan-bulan yang menyusul.

Semoga cahaya Syawal senantiasa menyinari diri kita supaya mengingati Allah sebagai Maha Pencipta, menjadikan diri kita lebih dekat dengannya. Di samping bergembira bersama keluarga, merapatkan silaturrohim, kita jauhkan daripada melakukan perkara yang tidak baik dengan terbenamnya hari terakhir Ramadhan terbitnya bulan baharu. Tidak lupa juga menginsafi mereka yang kurang bernasib baik; Aidil Fitri mereka itu tidak ubah seperti hari-hari lain. Dipenuhi dengan tangisan mengiringi kesukaran, kecederaan malah kematian akibat bedilan tidak putus-putus, angkara kerakusan manusia yang kesombongannya bertakhta di hati. Kita titipkan doa untuk mereka ini, baik di mana sahaja mereka berada.

Kelab Noon mengambil kesempatan ini bagi mengucapkan Selamat Menyambut Aidil Fitri...semoga segala amalan pada bulan Ramadhan kita diterima Allah s.w.t....Amin.


PS. Mari kita teruskan lipat ganda usaha lagi dengan melaksanakan puasa selama enam hari dalam Syawal; yang mana pahalanya sekiranya ditambah kepada puasa sebulan Ramadhan, seumpama kita berpuasa selama setahun. Usah pula kita lupa, ya?

No comments:

Post a Comment